Saturday, June 11, 2011

Kerajaan pimpinan Ustaz Azizan di Kedah sudah mula mengganas

SUNGAI PETANI, 26 Mei (Bernama) -- Sebanyak 13 peniaga di tepi Jalan Kelab Cinta Sayang di sini kesal dengan tindakan kerajaan negeri Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) merobohkan gerai mereka tanpa sebarang notis pemberitahuan hari Khamis.

Seorang daripada peniaga berkenaan, Anita Suriati Aziz, 34, mendakwa tindakan itu telah menyebabkannya kerugian kira-kira RM30,000.

"MPSPK meroboh kesemua gerai di sini termasuk gerai saya pada hari ini. Ia berlaku dengan sekelip mata tanpa sebarang persediaan kerana pihak MPSPK tidak beri apa-apa notis kepada kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat MPSPK.

Anita yang berniaga roti canai selama 12 tahun di situ, berkata MPSPK tidak menyatakan sebarang alasan yang kukuh berkenaan tindakan merobohkan semua gerai yang sudah sekian lama bertapak di situ.

"Bayangkan pada waktu itu pelanggan sedang ramai dan kami tidak diberi peluang langsung untuk berunding. Jawapan yang pihak MPSPK bagi adalah kerja-kerja meroboh ini adalah arahan daripada pejabat Menteri Besar," katanya.

Peniaga surat khabar Ramlan Abdul Rahman,41, berkata tindakan MPSPK itu telah menyebabkannya hilang punca pendapatan kerana selama ini gerai yang dirobohkan itu tempatnya berniaga bagi mencari sesuap nasi.

"Pendapatan saya sekarang ialah cuma berniaga sahaja untuk membela lima orang anak dengan duit yang saya perolehi sebanyak RM20 hingga RM30 sehari ini.. dan sekarang saya buntu macam mana saya hendak menyara keluarga selepas ini," katanya.

Ramlan berkata sepatutnya pihak MPSPK lebih prihatin dengan masalah peniaga di situ yang mana sekurang-kurang memberi notis pemberitahuan terlebih dahulu agar mereka boleh berpindah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata tindakan meroboh kesemua 13 buah gerai itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada peniaga di situ dan rakyat secara keseluruhannya.

"Hal ini membuktikan hendak mentadbir sesebuah negeri bukan senang dan sekadar menaburkan janji-janji kosong itu memang senang tetapi hendak melaksanakannya bukan mudah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan komputer di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mahajothi di sini hari ini. -- BERNAMA